Hari ini 54 tahun yang lalu, Ringgit mula digunakan secara rasmi sebagai mata wang baharu Malaysia.


Terma ringgit sebenarnya sudah digunakan sejak lebih 500 tahun lalu, apabila Portugis tiba di tanah ini memakai mata wang dolar Sepanyol. Namun orang tempatan memanggilnya ringgit, yang bermaksud bergerigi, kerana bentuknya begitu.


pabila menjadi tanah jajahan British, mata wang Tanah Melayu pada asalnya adalah Dolar Selat, kemudian menjadi Dolar Malaya pada 1938 dan Dolar Borneo British apabila pentadbiran Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Labuan diambil alih oleh British.


Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, mata wang Dolar masih dipakai. Namun apabila Singapura dan Brunei keluar daripada gagasan itu membentuk negara sendiri, masing-masing menggunakan mata wang sendiri dan Malaysia bertukar kepada Ringgit.


Pada 29 April 1967, Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin mempersembahkan rekaan mata wang baharu yang hadir dalam lima denominasi iaitu $1, $5, $10, $50 dan $100, begitu juga syiling 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.


Wang baharu yang ditempah dari London tiba di Port Swettenham (Pelabuhan Klang) pada 17 Mei, dengan kawalan ketat melibatkan 19 kenderaan tentera ia kemudian disimpan di Pejabat Mata Wang Bank Negara Malaysia di Batu Tiga, Shah Alam sebelum diagihkan.


Sehari sebelum digunakan secara rasmi, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ismail Mohd Ali mempersembahkan album set wang Ringgit pertama bernombor siri A00001 kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ismail Nasiruddin Shah.


Lambang M$ digunakan pada awalnya sebelum ditukar kepada RM pada 1 Disember 1992. Di peringkat antarabangsa, Ringgit Malaysia diwakili dengan kod MYR.



Sumber: Twitter @Astro501


Post a Comment