Hari ini 32 tahun yang lalu, protes pro-demokrasi di Dataran Tiananmen berakhir dengan pertumpahan darah.


Kerajaan komunis China menyuraikan demonstrasi aman yang berlangsung lebih sebulan, sebahagian besarnya disertai oleh pelajar dari serata China, dengan kekerasan oleh angkatan tenteranya.


Segalanya bermula pada 15 April, apabila kumpulan pelajar berkumpul di Dataran Tainanmen untuk berkabung kematian Hu Yaobang, bekas pemimpin Parti Komunis yang dipecat kerana cuba memperkenalkan reformasi demokratik di negara itu.


Perkumpulan itu menjadi protes meluahkan kekecewaan terhadap pentadbiran komunis yang terlalu menekan serta masalah ekonomi berlanjutan yang menyebabkan semakin ramai hilang kerja, menganggur dan jatuh miskin.


Pada 13 Mei, pemprotes melancarkan mogok lapar yang menjadi gerakan yang tular ke seluruh China. Tertekan, kerajaan menguatkuasa undang-undang tentera pada 20 Mei dan 250,000 tentera digerakkan ke Tiananmen ketika jumlah pemprotes mencecah sejuta orang.


Kehadiran tentera bersama kereta kebal dan kenderaan berperisai tidak berkesan mendesak para pemprotes untuk bersurai. Akhirnya pada 4 Jun, tentera menggunakan kekerasan dan melepaskan tembakan peluru hidup ke arah orang ramai.


Ketika ramai yang lari bertempiaran menyelamatkan diri, ada juga yang melawan dengan melempar batu dan membakar kenderaan tentera. Sekurang-kurangnya 300 orang terkorban, ribuan tercedera dan kira-kira 10,000 ditahan.


Seluruh dunia mengecam tindakan China itu, termasuk sekutu kuatnya Rusia. Tidak sampai sebulan kemudian, Kongres Amerika Syarikat sepakat untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas China kerana melanggar hak asasi manusia.


Sumber: History, Wikimedia Commons


Dipetik dari @Awani501

Post a Comment