Hari ini 64 tahun yang lalu, rombongan kemerdekaan negara pulang dari London selepas membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.


Ini adalah bebenang.


Selepas Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956, satu suruhanjaya dibentuk untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.


Ia dipanggil Suruhanjaya Reid, ditubuhkan pada Mac 1956 dan dianggotai oleh pakar perlembagaan dari beberapa negara Komanwel, dan mereka telah mengadakan pertemuan sebanyak 118 kali antara Jun hingga Oktober 1956.


Suruhanjaya itu menerima 131 memorandum daripada pelbagai individu dan organisasi termasuk cadangan daripada Parti Perikatan dan Majlis Raja-Raja Melayu, semuanya dipertimbang untuk membentuk Draf Perlembagaan.


Draf Perlembagaan mengandungi 12 bab dikemukakan pada 21 Februari 1957, diperhalusi oleh sebuah jawatankuasa kerja kemudian dibawa ke London oleh rombongan tujuh orang diketuai Tunku Abdul Rahman bersama tiga wakil kerajaan dan tiga wakil Raja-Raja Melayu.


Selepas pembentangan dan rundingan dengan Pejabat Tanah Jajahan Inggeris berjalan selama lapan hari, draf Perlembagaan itu diluluskan oleh Parlimen United Kingdom. Rombongan pulang ke tanah air membawa satu lagi khabar gembira.


Kepulangan mereka disambut lebih 2,000 orang di Lapangan Terbang Tentera Udara Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 3 Jun 1957. Ia adalah langkah terakhir sebelum negara secara rasminya merdeka pada 31 Ogos 1957.



Sumber: Arkib Negara Malaysia, Twitter Rasmi TUDM


Diambil dari : @Awani501


Post a Comment