Hari ini 68 tahun yang lalu, Elizabeth II ditabal secara rasmi sebagai Ratu United Kingdom.


Dilahirkan pada 1926, Elizabeth merupakan cahaya mata pertama Putera Albert Frederick Arthur George, putera kedua Raja George V. Datuknya meninggal dunia pada 1936, dan bapa saudaranya diisytihar sebagai Raja Edward VIII.


Bagaimanapun tidak sampai sebulan, Edward melepaskan takhta kerana mahu mengahwini Wallis Warfield Simpson, seorang janda warga Amerika Syarikat. Maka bapa Elizabeth ditabal sebagai raja yang baharu dengan nama Raja George VI.


Ketika Perang Dunia Kedua, Elizabeth dilatih sebagai leftenan kanan dalam perkhidmatan wanita dan bertugas memandu serta membaiki trak-trak tentera. Pada 1947, Elizabeth berkahwin dengan Putera Greece dan Denmark, Phillip Mountbatten.


Ketika pasangan diraja itu mengadakan kunjungan ke Kenya pada 6 Februari 1952, di sana mereka mendapat khabar bahawa ayahandanya raja telah meninggal dunia. Elizabeth serta merta menaiki takhta namun tidak diisytihar untuk tiga bulan seterusnya kerana berkabung.


Beliau mula menjalankan tugas rutin monarki pada musim panas 1952, dan menyampaikan ucapan pembukaan Parlimen pertamanya pada November tahun sama. Pada 2 Jun 1953, di usia 27 tahun, upacara pertabalan Ratu dilangsungkan di Westminster Abbey.


Pada upacara gilang gemilang itu, Elizabeth menyampaikan sumpah pertabalan dan ikrarnya kepada Great Britain dan negara-negara Komanwel. Beliau dan suami kemudian berarak sejauh lima batu di London dengan menaiki kereta kuda.


Barisan pengawal diraja British, Yeoman of the Guard turut disertai angkatan tentera negara Komanwel seperti Pakistan dengan serbannya, Australia dengan topi lebarnya, dan Persekutuan Tanah Melayu dengan baju Melayu putih bersampin hijau.


Selepas berarak, Ratu Elizabeth II dan keluarganya berdiri di balkoni Istana Buckingham dan melambai ke arah khalayak yang hadir sambil formasi jet pejuang terbang melintasi ruang udara istana.


Memerintah sehingga hari ini, Ratu Elizabeth II adalah monarki ke-4 paling lama bertakhta dalam sejarah selepas Raja Johann II Leichtenstein (70 tahun 91 hari), Raja Bhumibol Adulyadej Thailand (70 tahun 126 hari) dan Raja Louis XIV Perancis (72 tahun 110 hari).



Sumber: History, Victoria & Albert Museum, Astroawani

Post a Comment