Hari ini 54 tahun yang lalu, Perang Enam Hari meletus


Selepas Israel ditubuhkan secara haram di bumi Palestin pada 1948, pertelingkahan tentang persempadanan negara haram itu dengan negara-negara Arab sekitarnya berlanjutan selama hampir dua dekad, menjadi punca utama perang ini.


Ketegangan semakin memuncak apabila pada Mei 1967, Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser mengarahkan supaya Selat Tiran ditutup kepada kapal keluar masuk Israel untuk melumpuhkan ekonomi negara haram tersebut.


Pada masa sama, Mesir menggerakkan tenteranya ke Semenanjung Sinai dan meminta Pasukan Pengaman PBB berundur dari situ. Pakatan dibentuk antara Mesir, Syria, Jordan dan Iraq, dan keberadaan tentera di persempadanan negara mereka dengan Israel dipertingkatkan.


Tidak tahan, rejim Zionis memulakan serangan pada 5 Jun 1967 dengan mengebom pangkalan Tentera Udara Mesir dan Syria. Dengan lumpuhnya angkatan udara Mesir dan Syria, tentera rejim Zionis memiliki kelebihan di darat sekaligus meluaskan wilayah jajahan ke segenap arah.


Israel menakluk Semenanjung Sinai dan Gaza daripada Mesir, seterusnya Baitulmaqdis dan Tebing Barat daripada Jordan pada 7 Jun. PBB menggesa gencatan senjata diadakan, namun diendah Israel yang terus menyerang dan menawan Bukit Golan daripada Syria pada 9 Jun. 


Pada 10 Jun, barulah gencatan senjata berkuatkuasa sekaligus menamatkan perang. Dianggarkan sekurang-kurangnya 20,000 nyawa orang Arab dan hanya 800 nyawa orang Israel terkorban dalam pertempuran yang berlangsung hanya selama 132 jam itu.


Rejim Zionis menyerahkan kembali Semenanjung Sinai kepada Mesir pada 1982. Bukit Golan masih dirundingkan dengan Syria. Jordan dan Mesir pula akhirnya menarik balik tuntutan masing-masing terhadap Tebing Barat dan Gaza.


Penguasaan Israel dalam Perang Enam Hari itu sekaligus mengubah landskap geopolitik Timur Tengah, dan wilayah yang ditakluk mereka menjadi teras konflik Arab-Israel yang berlanjutan sehingga hari ini.



Sumber: Peristiwa Hari Ini, Astro Awani


Post a Comment