JAKARTA - INDONESIA. Ibu negara Indonesia dikhuatiri menerima nasib sama seperti Kota Atlantis yang hilang ribuan tahun lalu.



Ini kerana Jakarta dijangka tenggelam lebih cepat dari mana-mana bandar di bumi sehingga 25 sentimeter setahun, namun pakar memberi amaran sebahagian besar kawasan yang mempunyai empat juta penduduk itu akan berada di bawah air dalam tempoh sedekad.

Susulan berdepan ancaman itu, kerajaan telah membina tembok laut untuk melindungi penduduk dari bencana.

Tetapi, ia masih tidak dapat menghalang keadaan itu kerana ia bukan berpunca daripada kenaikan air laut sebaliknya disebabkan masalah permukaan tanah.

Ia diburukkan lagi apabila penduduk terpaksa bergantung dengan perigi persendirian untuk mendapatkan bekalan air dari akuifer yang merupakan bahagian bawah tanah yang terdiri daripada kerikil dan batu berliang mengandungi air.

Keadaan itu telah menyebabkan bahagian permukaan tanah semakin tenggelam.

Masalah itu tidak dihiraukan sehingga kejadian banjir pada 2007 yang meragut 50 nyawa dan menyebabkan 300,000 hilang tempat tinggal.

Ahli hidrologi, JanJaap Brinkman berkata, kajian ke atas data dan pemetaan mendapati bandar itu telah tenggelam satu sentimeter (sm) setahun dan secara purata lima hingga 10 sm dalam tempoh tersebut.

Sejak itu, pelbagai pelan telah dirancang termasuk tembok laut dalam bentuk burung gergasi menelan kos AS$40 bilion (RM155 bilion), namun kemajuannya sangat perlahan dan terpaksa dibatalkan pada Disember lalu. - Daily Mail

Post a Comment