Seorang pemuda hari ini memuat naik klip video yang diubah suai daripada insiden seorang wanita melempar kasutnya - dan menunjukkan jari tengah - ke arah sebuah kereta di Kuah, Langkawi.
Menggunakan nama akaun AKWA, dia menghasilkan sketsa ringkas berkaitan selipar terbang dan setakat awal petang ini ia ditonton lebih 600,000 kali.
"Berhati-hati dengan selipar terbang di bulan Ramadan," kata pemilik akaun itu bagi mengiringi klip videonya.
Kejadian sebenar berlaku pada kelmarin apabila dua kereta berebut petak parkir sama di kawasan pasar Ramadan.
Insiden itu dimuat naik di Facebook dan segera menjadi perhatian ramai. Selepas klip video menjadi tular di media sosial, suami wanita itu tampil memohon maaf.
Kata Muhammad Jefry Sudin, dia berbuat demikian bagi menjernihkan keadaan sedia ada.
"Dari segi itu (perbuatan menunjukkan isyarat lucah dan membaling kasut) saya bagi pihak isteri mohon maaf dan saya pun tidak menjangkakan dia bertindak sampai begitu.
"Saya menganggap kejadian itu kecil saja dan ia menjadi tular apabila wanita yang dipercayai perakam kejadian itu memuat naik ke media sosial, sekali gus mendapat pelbagai komen orang ramai," katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Klip video memaparkan seorang wanita melempar kasut ke arah sebuah kereta dipercayai akibat perebutan kawasan parkir di Kuah, Langkawi, menjadi tular sejak kelmarin.
Ia mula menjadi perhatian selepas dimuat naik di Facebook oleh seseorang dipercayai individu yang merakam aksi itu.
Video sepanjang 42 saat itu menjadi tular dengan mendapat lebih 3,000 'like' dan berbelas ribu kongsian oleh pengguna laman sosial.
Ia kemudian mengundang kecaman terhadap wanita terbabit yang dianggap keterlaluan.
Bagaimanapun Muhammad Jefry, 33, meminta orang ramai tidak menyalahkan mereka 100 peratus, sebaliknya perlu mengambil kira "punca sebenar" kejadian itu berlaku.
"Sebelum kejadian itu, saya sedang memandu kereta, manakala di hadapan saya ada sebuah kereta dinaiki tiga wanita dan kami sama-sama sedang mencari ruang untuk meletak kenderaan.
"(Kemudian) ada satu ruang kosong. Ketika itu kereta di hadapan saya sudah terlajak, jadi saya yang sempat masuk ke ruang kosong itu untuk meletak kenderaan," katanya.
Mengulas lanjut Muhammad Jefry berkata, pemandu kereta terbabit mendakwa ruang kosong itu adalah miliknya.
Pemandu terbabit juga, dakwa Muhammad Jefry, melemparkan kata-kata kesat yang menimbulkan rasa marah isterinya, Siti Khadijah Awang, 28, sehingga tercetus perbuatan menunjukkan isyarat lucah dan membaling kasut.
Sesetengah pihak berpendapat reaksi wanita terbabit keterlaluan, terutama dengan mengambil kira faktor umat Islam kini sedang berpuasa Ramadan.
Pasangan suami isteri itu juga dirasakan orang ramai kurang wajar bertindak begitu kerana mereka mendapat ruang parkir berkenaan.
Melalui klip video berkenaan Siti Khadijah pada awalnya dilihat membaling kasut kanannya dan berjalan beberapa tapak sebelum bertindak begitu sekali lagi dengan kasut kirinya.
Dia kemudian kelihatan bergerak ke kawasan berjual beli pasar Ramadan tanpa berkasut.
Post a Comment