Kejadian yang bermula Jumaat lalu dikatakan serangan siber ‘ransomeware’ paling besar setakat ini dan menjejaskan agensi kerajaan dan syarikat di seluruh dunia termasuk bank di Russia, hospital di Britain dan kilang kereta di Eropah.
Agensi polis Eropah, Europol berkata, serangan itu berlaku pada tahap yang belum dilihat sebelum ini dan memerlukan siasatan antarabangsa yang rumit bagi mengesan dalangnya.
Katanya, satu pasukan petugas khas di Pusat Jenayah Siber Eropah dibentuk dan “akan memainkan peranan penting dalam menyokong siasatan ini.”
Serangan ‘ransomeware’ itu mengambil kesempatan kelemahan keselamatan dalam sistem operasi Microsoft dan menyekat akses ke fail pengguna sehingga wang tebusan dibayar menerusi mata wang maya, Bitcoin.
Gambar dipaparkan pada skrin mangsa dengan kata-kata: "Ooops, your files have been encrypted!" serta menuntut pembayaran $300 (RM1,302).
Pembayaran dituntut dalam tempoh tiga hari atau harga itu akan berganda. Jika pembayaran tidak diterima dalam tempoh tujuh hari, fail mangsa akan dipadam, menurut mesej skrin.
Namun, pakar dan kerajaan sama-sama memberi amaran terhadap membayar tuntutan penggodam.
"Pembayaran wang tebusan tidak menjamin fail yang disekat akan dilepaskan," kata jurucakap pasukan tindak balas kecemasan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat.
"Ia hanya memberi jaminan penggodam menerima wang daripada mangsa dan dalam beberapa kes, maklumat perbankan mereka juga," katanya.
-Hmetro
Post a Comment