Sebelum anda membawa pulang cahayamata, pastikan rumah anda selamat. Mulakan dengan langkah-langkah asas dan ubah mengikut kesesuaian apabila bayi semakin besar.

Tempat paling selamat bagi bayi tidur ialah di dalam katil bayi. Buaian kain atau sarung tidak selamat bagi bayi kerana dia boleh terjatuh keluar.

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Katil Bayi?

1.  Skru, selak dan kancing mesti dipasang dengan kemas dan betul supaya katil bayi tidak roboh.

2.  Pastikan tiada bucu yang tajam atau skru, selak dankancing yang terdedah yang boleh melukakan bayi ataumenyentap pakaian dan menyebabkan bayi tercekik atau mengalami kecederaan.

3.  Tilam mestilah muat dengan katil. Pastikan ruang kosong di antara tilam dan bahagian tepi katil bayi tidak melebihi dua jari. (Sila rujuk kepada gambarajah)

4.  Patuhi ukuran-ukuran berikut:

Ruang antara palang-palang katil bayi

Tidak lebih dari 6 sentimeter. Jika ruang terlalu besar, bayi boleh terbolos dan tersangkut di antara palang.

Palang atas katil bayi yang boleh diubah tinggi-rendah

Semua katil bayi mempunyai 2 atau 3 ketinggian yang boleh diubahsuai. Mulakan dengan bahagian asas tilam di kedudukan paling tinggi, dan rendahkan apabila bayi mula membesar. Di aras tertinggi, pastikan ukuran dari bahagian atas tilam ke palang atas katil bayi tidak kurang dari 30 sentimeter.

5.  Pasang penghadang alas lembut di keliling katil bayi dan ikat dengan selamat supaya ia ketat dan tidak mudah tertanggal.

6.  Pastikan katil bayi mempunyai cat dan kemasan yang tidak berbahaya dan tahan lama.

7.  Jangan guna alas tilam plastik. Ia boleh melekat ke muka bayi dan menyebabkan bayi lemas.

8.  Jangan letakkan katil bayi berdekatan dengan tingkap, langsir, lampu, wayar dan peralatan elektrik (seperti kipas) atau lain-lain perabot yang boleh digunakan untuk kanak-kanak memanjat keluar.

Saat Ketibaan Bayi


1.  Posisi tidur paling selamat untuk bayi ialah berbaring terlentang. Posisi ini dapat mengelakkan ‘Sudden Infant Death Syndrome (SIDS)’.

2.  Jangan sesekali menutup muka bayi dengan selimut kerana ia boleh mengakibatkan kesesakan nafas. Sekiranya ingin menggunakan selimut, gunakan selimut yang mempunyai lubang-lubang kecil bagi membolehkan aliran udara, seterusnya mengurangkan risiko kesesakan nafas. Letakkan bayi pada posisi di mana kakinya dapat mencapai katil bayi bagi mengelakkan bayi bergerak-gerak sehingga masuk di bawah selimut.

3.  Semasa menukar lampin bayi, jangan sekali-kali tinggalkan bayi bersendirian di atas tempat menukar lampin atau katil. Letak sebelah tangan pada bayi sepanjang masa.

4. Anda juga boleh menukar lampin bayi dengan membaringkannya di atas tilam atau selimut di atas lantai yang bersih.

5.  Bedak bayi, minyak dan losyen boleh mendatangkan mudarat jika tertelan. Jangan tinggalkan barang-barang ini di tempat yang boleh dicapai bayi.

6. Jangan goncang atau tuang bedak bayi berdekatan dengan mukanya kerana serbuk bedak yang halus boleh mendatangkan bahaya jika disedut. Seelok-eloknya tuang bedak ke telapak tangan terlebih dahulu kemudian sapukan ke badan bayi.

7.  Letakkan ‘cot bumpers’ di sekitar katil bayi bagi mengelakkan kepala bayi terhantuk pada katil bayi. Pastikan ‘cot bumpers’ diikat ketat setiap masa. ‘Cot bumpers’ seharusnya dikeluarkan apabila bayi boleh duduk tanpa bantuan.

8.  Jangan penuhkan katil bayi dengan bantal, alat permainan atau selimut tebal.

9.  Jangan sekali-kali mengikat bayi andadi dalam katil bayi.

10.  Anda boleh gunakan alat permantauan bayi sebagai langkah keselamatan tambahan apabila bayi tidur. Gunakan alat yang sudah diuji keselamatannya, patuhi panduan dari pengeluar alat tersebut, uji bateri dengan kerap dan pastikan ia tidak boleh dicapai oleh bayi.

11.  Pastikan kebersihan rumah dan haiwan peliharaan. Debu, kulat, sesejenis serangga dan bulu haiwan boleh menyebabkan serangan lelah atau alahan.


Sumber : PersatuanPediatrik Malaysia

Post a Comment