Di dalam situasi tertentu, adalah tidak mudah untuk menjaga dan membela anak. Apabila anak anda mula merangkak dan bergerak, kawasan persekitaran rumah menjadi amat berbahaya memandangkan kanak-kanak kecil tidak sedar akan keadaan rumah yang mungkin merbahayakan mereka. Maka dengan sebab itu, kanak-kanak di bawah umur 4 tahun cenderung kepada kecederaan yang berlaku di rumah berbanding dengan kecederaan kenderaan bermotor. Namun, adalah suatu perkara yang menyedihkan apabila kanak-kanak yang terlibat dalam kecederaan yang berlaku di rumah mungkin parah atau maut disebabkan kecederaan ini.

Langkah pencegahan kemalangan dapat dielakkan jika ibu bapa mengambil langkah sewajarnya bagi menghindari situasi tersebut. Antara langkah yang perlu di lakukan adalah seperti berikut ;

Keselamatan di RuangTamu

1. Tutup dan kunci pintu ke arah tangga dan hadang tangga dengan pagar.Pastikan pagar teguh dan tidak mudah roboh.

2. Wayar telefon, televisyen dan sebagainya adalah berbahaya. Ikat dengan pita pelekat atau getah dan gunakan alat memendekkan wayar bagi mengubahsuai kepanjangan wayar.

3. Letakkan televisyen di atas permukaan yang kuat da ntolak televisyen serapat mungkin ke dinding.

4. Terdapat banyak bucu yang tajam di dalam ruang tamu seperti meja dan rak.Gunakan penghalang bucu atau kain berpad untuk mengelakkan kecederaan di kepala, lebam dan benjol.

5. Kunci pintu gelas longsor. Letak pelekat atau tampalan di pintu gelas searas mata kanak-kanak supaya dia tidak berlari menerusi pintu dengan tidak sengaja.

6. Elak dari menggunakan perabot yang berkaca atau mempunyai permukaan kaca. Jika anda mempunyai meja kaca, salut bahagian kaca dengan plastik kejap bagi mengelakkan kaca dari pecah dan melukai anak sekiranya berlaku kemalangan.

7. Penuhkan laci dari bawah ke atas apabila kanak-kanak mula memanjat. Ini mengelakkan perabot dari terjatuh menimpa dan memerangkap kanak-kanak.

8. Permaidani dan tikar yang tidak melekap ke lantai adalah berbahaya kerana kanak-kanak yang baru belajar berjalan boleh tergelincir dan terjatuh. Letakkan alas getah di bawah permaidani.

9. Jangan tinggalkan dompet dan beg tangan di atas lantai. Isi kandungan dan talinya boleh membahayakan kanak-kanak kecil.

Keselamatan di dalam Dapur

Dapur memang nampak amat menarik kepada kanak-kanak, tetapi ia penuh dengan bahaya : wayar peralatan elektrik,cerek berisi air panas, kuali dan laci berisi pisau tajam.

1. Jangan benarkan anak masuk ke dalam dapur.

2. Simpan peralatan tajam supaya tidak boleh diambil anak.

3. Pasang kunci atau penghalang di dalam laci, almari dan pintu.

4. Pasang penghadang di dapur memasak bagi menghalang kanak-kanak dari menyentuh api atau permukaan panas. Gunakan penutup tombol supaya kanak-kanak tidak boleh menyalakan api.

5. Wayar bergantung dari peralatan elektrik seperti pengisar dan periuk nasi adalah berbahaya. Sorokkan dengan penutup wayar atau pita pelekat.

6. Biasakan diri supaya memusingkan pemegang atau tangkai periuk ke dalam berjauhan dari hujung meja. Jangan sekali-kali makan, minum, bawa atau menyediakan makanan atau minuman panas sambil mendukung bayi.

7. Jauhkan makanan dan minuman panas dari hujung meja.

8. Buang beg plastik dengan serta merta. Tebuk lubang dan ikat sebelum anda membuangnya. Atau, simpan beg plastik di tempat yang selamat. Selain lemas, kanak-kanak  juga boleh tercekik jika termakan cebisan plastik yang kecil.

9. Alas meja yang berjuntai boleh ditarik dengan mudah dan apa-apa barang di atas meja boleh jatuh menimpa bayi. Jika anda mahu menggunakan alas meja, kepit dengan penyepit atau klip.

Keselamatan di Bilik Tidur

1. Gunakan selak keselamatan atau penutup tombol pintu bagi menghalang kanak-kanak dari terperangkap di dalam almari.

2. Rapatkan perabot yang goyah ke dinding. Secara amnya, jika tinggi perabot lebih dari lebarnya, ia patut dirapatkan ke dinding.

3. Jauhkan katil bayi, katil dan perabot dari tingkap. Pasang  jeriji di tingkap atau penghalang supaya ia tidak boleh dibuka melebihi 10 sentimeter.

4. Sentiasa tutup bakul sampah di dalam bilik tidur. Jangan buang barangan seperti beg plastik, barang-barang kecil dan tajam di dalam bakul sampah.

5. Jika anda menggunakan katil dua tingkat, jangan benarkan kanak-kanak berusia kurang dari 6 tahun tidur di tingkat atas.

6. Pastikan kedua-dua katil di tingkat atas dan bawah mempunyai penghadang di bahagian tepi dan hujung katil.

7. Pastikan penghadang berukuran sekurang-kurangnya 12 sentimeter dari atas tilam.

8. Pastikan tilam terletak rapi dan kemas di dalam katil.

9. Jangan benarkan kanak-kanak bermain di atas katil dua tingkat.

10. Pasang alat pengesan asap di luar pintu. Bunyi amaran mesti cukup nyaring dan kuat supaya menjagakan anda apabila berada dalam bilik. Uji pengesan asap dengan kerap dan tukar bateri sekurang-kurangnya dua kali setahun.

11. Pastikan ada jalan keluar jika berlaku kecemasan seperti kebakaran. Anda mesti adakan satu jeriji tingkap yang boleh dibuka.Tetapkan tempat berkumpul bagi keluarga jika berlaku kecemasan.

Keselamatan di Bilik Air

1. Pastikan pintu ke bilik air dan tandas sentiasa tertutup.

2. Jangan benarkan anak pergi ke bilik air atau tandas bersendirian. Sentiasa pastikan anak ditemani orang dewasa. Jika boleh, pasang kunci di penutup mangkuk tandas supaya anak tidak boleh terjatuh dan lemas.

3. Jangan sekali-kali tinggalkan anak bersendirian di dalam besen mandi atau sebarang bekas berisi air seperti baldi, kolam atau tandas atas apa sebab dan walau sekejap mana sekalipun. Kanak-kanak boleh lemas di dalam air berukuran kurang daripada 2.5 sentimeter.

4. Apabila menyediakan mandian bayi, masukkan air sejuk dahulu diikuti air panas. Jangan tambah air semasa bayi berada di dalam besen mandi. Jika anda perlu menambah air, keluarkan bayi terlebih dahulu. Uji suhu air sebelum anda memasukkan bayi kembali ke dalam besen mandi.

5. Uji suhu mandian dengan siku anda. Suhu patut berasa suam dan selesa. Anda juga boleh menggunakan termometer tab mandi yang ada dijual di pasaran.

6. Apabila memandikan bayi, pegang bayi dengan sebelah tangan dangun akan tangan yang lagi sebelah untuk memandikannya.

7. Gunakan alas getah atau tuala sebagai alas di dalam besen mandi supaya bayi tidak tergelincir.

8. Jangan letakkan peralatan elektrik berdekatan sinki, besen mandi atau tandas.

9. Tuang dan kosongkan bekas berisi air dengan serta-merta selepas menggunakannya bagi mengelakkan kanak-kanak lemas.

10. Letakkan besen dan baldi di tempat yang tidak boleh dicapai supaya anak tidak mengisikannya dengan air.

11. Bekas yang berisi air seharusnya ditutup setiap waktu.


Sumber : PersatuanPediatrik Malaysia

Post a Comment