Keghairaan membelikan mainan untuk bayi kesayangan tidak seharusnya mengabaikan aspek keselamatan bayi. Bayi boleh tercedara disebabkan mainan. Anda tentu pernah mendengar kanak-kanak dimasukkan ke ICU kerana alat permainan. Ini adalah disebabkan oleh kecuaian ibubapa dalam menentukan jenis mainan untuk bayi.

Ibubapa seharusnya mendapatkan maklumat atau panduan sebelum membeli mainan untuk bayi. Berikut adalah antara panduan keselamatan membeli alat mainan bayi ;

1.  Apabila anda membeli alat permainan, pastikan ianya sesuai dengan umur, minat dan kebolehan anak.

2.  Berikan kanak-kanak mainan yang sesuai dengan umurnya. Mainan untuk kanak-kanak yang lebih tua mungkin merbahaya untuk kanak-kanak yang lebih muda.

3.  Tanggal dan buang pembalut mainan sebelum ia diberikan kepada anak.

4.  Jangan biarkan mainan bersepah-sepah di tangga atau di atas lantai.Latih anak supaya menyimpan mainan mereka selepas selesai bermain dan sediakan tempat simpanan yang selamat.

5.  Pilih mainan yang bukan toksik dan tidak boleh terbakar.

6.  Pastikan bahagian mata, bulu,butang, cat dan lain-lain pada alat mainan tidak mudah tertanggal atau menggelupas.

7.  Elakkan mainan berikut :
  • Berbucu tajam atau mempunyai kemasan yang kasar.
  • Bertali melebihi 30 sentimeter.
  • Mempunyai bahagian kecil yang boleh ditanggalkan berukuran kurang dari 5 sentimeter.
  • Mempunyai tangkai atau pemegang yang panjang yang boleh dimasukkan ke dalam mulut atau mencucuk mata.
  • Diperbuat daripada bahan yang mudah pecah atau koyak.
  • Mempunyai bulu atau rambut panjang yang boleh menyebabkan alahan.
  • Mempunyai enjin atau kipas yang berputar.
8.  Awasi kanak-kanak ketika mereka bermain dan ajar mereka bagaimana bermain dengan selamat (tidak boleh memukul satu sama lain atau mencampak barang-barang dan sebagainya).

9.  Pastikan bateri bagi mainan dipasang dengan betul dan jangan benarkan kanak-kanak tidur dengan mainan berbateri.

10.  Periksa alat-alat permainan kanak-kanak dengan kerap. Baiki atau buang mainan yang sudah rosak atau pecah.


Sumber : PersatuanPediatrik Malaysia

Post a Comment