The Great Liwan of North Borneo: sejarah singkat Dusun Liwan.


Suku Liwan, mereka merupakan salah satu suku Dusun yang paling berpengaruh di Sabah, sehingga memiliki pengaruh juga dalam pembentukan sejarah Sabah. Peranan mereka dalam sejarah lama di Sabah, tidak disangkal lagi. Suku Liwan merupakan salah satu suku yang terbesar dalam rumpun Dusunic, dengan populasi sekitar 100 ribu orang. Mereka merupakan kelompok Dusun pedalaman yg berasal dari Ranau, sebelum tersebar ke Tambunan, Tamparuli, Keningau, Papar, Sook, Tenom dan sebagainya. Dialek Liwan merupakan salah satu dialek Dusun yg berpengaruh secara meluas di Sabah. Dialek ini tersebar meluas kerana dialek ini lebih mudah difahami oleh suku-suku Dusun lain.

Menurut kisah, istilah Liwan belum wujud pada zaman Nunuk Ragang, walaupun kelompok yang "de facto" Liwan sudah ada di Nunuk Ragang. Ketika populasi Nunuk Ragang bertambah banyak, maka nenek moyang kaum Liwan telah berhijrah mencari penempatan baru. Kelompok penghijrah ini telah melahirkan puak-puak Liwan yg nama mereka berasal dari nama-nama tumbuhan yang dipakai untuk membuat tempat berteduh/rumah. Puak-puak Liwan tersebut adalah seperti Kogosingan, Tuhawon, Polupuh, Gana, Pulutan, Tibabar, Tolinting, etc. Di antara puak-puak cikal bakal Liwan ini ada yang berhijrah sampai ke Sarayo Ranau hingga bertembung dgn Dusun Bundu yang datang berhijrah dari Tamparuli.

Pertembungan ini menghasilkan istilah "Liwan," konotasi yang diberikan pada puak-puak yang berseberangan dengan suku Bundu. Akhirnya, istilah Liwan ini kekal di antara kaum Dusun di Sarayo Ranau, puak-puak yang memiliki dialek sama dengan Dusun Sarayo juga mulai disebut Liwan. Pada zaman pre-kolonialisme, puak-puak Liwan terkenal sebagai suku yang kuat. Antara suku Liwan yang paling agresif adalah dari puak Kogosingan. Puak Kogosingan pada zaman dahulu mendiami rumah panjang, mereka gemar melakukan head hunting dari Ranau sampai ke Paitan dan Kota Marudu, melawan kaum Tinagas, Lingkabau, Rungus, Kimaragang, Talantang, etc. Suku-suku Lingkabau, Tinagas dan Rungus dikatakan pernah bersekutu untuk melawan puak Kogosingan.

Salah satu pahlawan Kogosingan yang terkenal pada zaman dahulu adalah Aki Lontogon. Daerah Kota Marudu akan menjadi huru hara setiap kali Aki Lontogon muncul, Dia akan menyerang rumah-rumah panjang kaum lain sesuka hatinya tanpa satu orang pun yang dapat mengalahkannya. Satu hal yang menarik lagi adalah mengenai asal usul istilah "Lotud" yang kononya berasal dari sebutan orang Liwan terhadap orang-orang Bontoi Tamparuli yang kalah perang dengan orang-orang Liwan, sehingga mereka mulai disebut "Dusun Lotud." Suku Lotud berperang sampai ke Kudat, Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, Ranau dan Rundum, tapi di Ranau mereka mengalami kekalahan dalam satu pertempuran dengan kaum Liwan, sehingga memaksa berundur ke Tamparuli. Antara puak Lotud yang menyerang Ranau adalah puak Kohub, puak yang pakar membuat terowong bawah tanah.

Pada zaman British, kaum Liwan terus mewarnai perjalanan sejarah Sabah dan menjadi salah satu yang berperan dalam kegiatan penentangan British. Sekitar tahun 1897, Mat Salleh telah disokong kuat oleh kaum Liwan Ranau dan Tambunan dalam menentang British. Kaum Liwan berperang bersama-sama Mat Salleh di Ranau, mempertahankan kubu Mat Salleh. Orang kanan Mat Salleh yang terpenting iaitu Mat Sator, merupakan pahlawan dari kaum Dusun Liwan, Ranau. Ia kemudian menjadi pemimpin pasukan Mat Salleh di Ranau dan Tambunan. Mat Sator inilah yang mendirikan Kubu di Kepayan Tambunan yang dipanggil "Kota Mat Sator." Dalam perang Tambunan, pihak Liwan terbahagi kepada dua, iaitu Liwan yang berpihak pada Mat Salleh dan sebahgian lagi menentang Mat Salleh. Secara prinsipnya, kaum ini kaum yang damai, tapi pantang ditindas. Sebab musabab kaum Liwan Mukim Sunsuron menentang Mat Salleh adalah kerana mereka merasa dimanipulasi oleh Mat Salleh.

Liwan yang memilih melawan Mat Salleh adalah kaum Liwan area Sunsuron sampai Tontolob. Mereka mendirikan Kubu di Sunsuron dan berperang secara gerila melawan Mat Salleh. Menurut sejarah, ketika British datang menyerang Mat Salleh, kaum Liwan yang beroposisi dengan Mat Salleh telah membantu pihak British, semantara yang lain membantu Mat Salleh. Sewaktu kubu Mat Sator diserang dan ditakluk pada 21 Januari 1900, Mat Sator sempat melarikan diri. Pada 28 April 1900, Mat Sator memimpin 400 pasukan Dusun, Iranun dan Bajau menyerang Kudat; turut ikut serta adalah Kamunta dan Mat Daud. Beberapa pahlawan Liwan juga melakukan penentangan terhadap British, tapi kisah mereka tidak tertulis dalam buku sejarah; salah satu informan menyebut Genda dan Gontodon yang dikatakan tinggal di Utara Tambunan, melakukan penentangan terhadap British.

Demikianlah singkat mengenai suku Liwan dalam peta sejarah North Borneo. Dalam hal pakaian tradisional, suku Liwan memilliki beberapa pakaian tradisional wanita seperti Sinombayaka, Gonob, Pinolongon dan Lapoi yang selalunya dihiasi dengan Sunduk/Kulu dengan aksesori seperti Tangkong/Sinsing, Betungkat/Limpogot, Giring-Giring, Babagas, Haboi dan Sinaggalloi, etc. Pakaian lelaki pula memakai baju dari kulit pohon, cawat/santut, kogos dan sebagainya. Dalam seni tari pula, terdapat beberapa tarian Dusun Liwan, tapi yang sering diekspose adalah tarian "Modtomu Sumirid." Tarian ini adalah tarian untuk mengirim dan menyambut para pahlawan, juga ditarikan pada saat pertemuan untuk perdamaian (Modtomu)-

Aki Rumantai, 2017.

1 Comments

  1. I love this story, I hope you can release more detailed history in Sabah.

    ReplyDelete

Post a Comment