Limau mandarin cukup sinonim apabila menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina. Biasanya, limau mandarin menjadi snek wajib ketika perayaan itu serta dihadiahkan kepada sanak-saudara, rakan dan jiran tetangga untuk mengukuhkan hubungan persahabatan tanpa mengira kaum.

Biasanya limau mandarin berukuran antara enam hingga 8 sentimeter bergantung kepada jenisnya. Terdapat banyak variasi limau mandarin termasuk tangerine, clementine, dancy dan satsuma.

Berbanding limau lain, kulitnya lebih mudah dikupas dan isinya mudah dipisahkan antara satu sama lain.

Di sebalik rasanya yang enak, limau mandarin kaya dengan vitamin C yang dikatakan mampu melindungi tubuh daripada serangan kanser, merangsang pengaliran darah serta menyembuhkan luka bahagian dalaman dan luaran dengan lebih cepat.

Nilai kalsium yang tinggi pula menguatkan gigi dan mujarab bagi meningkatkan ketahanan badan, terutama tulang daripada ancaman osteoporosis.

Buah limau juga sumber asid folik dan dapat memenuhi 20 peratus daripada keperluan asid folik setiap hari untuk sebiji limau.

Kadar pengambilan makanan dengan kandungan asid folik yang tinggi seperti buah limau segar atau dalam bentuk jus mampu meningkatkan kadar asid folik.

Vitamin B pula sumber utama bagi mencegah kecacatan bayi dalam kandungan dan melawan penyakit jantung.

Kandungan pectin iaitu serat tinggi yang larut dalam air dalam limau mampu menahan rasa lapar, di samping dapat mengurangkan tahap kolesterol dalam darah.

Jus limau mandarin dikatakan berupaya mengubati asma, batuk kering, demam, penyakit bronkitis dengan merangsang larutan bergaram dalam paru-paru untuk melegakan dan mengeluarkan kahak berlebihan serta melindungi organ itu daripada dijangkiti virus semula.

Karbohidrat yang terdapat dalam buah limau ialah karbohidrat sederhana iaitu fruktosa, glukosa dan sukrosa.

Kandungan gula dalam buah ini akan bertambah apabila buahnya semakin tua, dan rasa masam semakin berkurangan.

Limau mandarin yang tergolong dalam buah-buahan sitrus amat baik untuk kesihatan jantung, penglihatan serta mengurangkan risiko penyakit kanser, selain memiliki kelebihan sebagai antioksidan, membantu mengawal tekanan darah, mengurangkan risiko penyakit strok dalam kalangan wanita serta membantu perkembangan otak janin. -Mymetro


Post a Comment