Adalah dimaklumkan bahawa perkhidmatan FPP ini bukanlah bermaksud penswastaan perkhidmatan penjagaan kesihatan di hospital-hospital kerajaan. Perkhidmatan penjagaan kesihatan sedia ada yang disubsidi kerajaan akan tetap diteruskan malah akan dimantapkan lagi melalui pelbagai teras transformasi sistem kesihatan oleh KKM. Bagi perkhidmatan perubatan bersubsidi tinggi ini, pesakit sememangnya dikenakan sedikit bayaran bersubsidi bergantung kepada kelas rawatan dan kemudahan yang disediakan kepada pesakit di mana caj ini adalah sangat rendah dan berpatutan kerana ianya masih terus disubsidi kerajaan.
Fokus perkhidmatan FPP ini adalah kepada rakyat yang berkemampuan untuk membayar kos penuh perubatan di mana mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan penjagaan rawatan kepakaran yang tinggi di hospital KKM yang terpilih. Ada juga pesakit yang di rujuk daripada hospital swasta ke hospital kerajaan kerana kelebihan kepakaran tertentu di hospital kerajaan, sedia untuk memilih skim FPP tanpa subsidi kerajaan. Antara kelebihan-kelebihan tertentu di bawah skim ini adalah seperti berikut:
- Pesakit boleh memilih Pegawai Perubatan Pakar untuk merawatnya;
- Pesakit mendapat kemudahan giliran untuk mendapat rawatan daripada Pegawai Perubatan Pakar; dan
- Pesakit dalam boleh menikmati beberapa kemudahan di wad eksekutif, kelas satu atau yang setaraf.
Kaedah pembayaran bil FPP boleh dibuat secara: tunai, kad kredit, kad debit atau draf bank. Surat jaminan (guarantee letter atau GL) syarikat swasta dan insuran perubatan yang mempunyai perjanjian persefahaman bersama Bahagian Kewangan KKM bagi perkhidmatan FPP juga boleh digunapakai untuk pembiayaan kos rawatan.
KKM sentiasa komited untuk terus menyediakan dan memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat dan yakin bahawa Pegawai Perubatan Pakar di KKM akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat serta memastikan perkhidmatan FPP ini tidak menjejaskan pemberian perkhidmatan kepada pesakit awam yang lain. Adalah diharapkan inisiatif ini dapat meningkatkan motivasi dan minat Pegawai Perubatan Pakar di KKM untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang mereka di fasiliti kesihatan KKM.
Kesimpulan
- Fokus FPP adalah untuk memberi peluang kepada pesakit mendapatkan rawatan pakar secara khusus selain menikmati beberapa kemudahan di wad eksekutif, kelas satu atau yang setaraf.
- FPP ditujukan kepada pesakit yang mampu untuk membayar kos perubatan tanpa subsidi kerajaan. Mereka turut dibenarkan memilih pegawai perubatan pakar selain kemudahan yang diberi bergantung kepada sumber, kepakaran dan fasiliti.
- Perlaksanaan FPP tidak akan menjejaskan perkhidmatan rawatan bersubsidi di mana bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM1 dan minimum RM30 sekiranya pesakit memasuki wad.
- FPP diperkenalkan kepada Pegawai Perubatan Pakar bagi mengurangkan penghijrahan mereka ke hospital swasta kerana faktor perbezaan gaji doktor kerajaan dan swasta yang mendorong penghijrahan doktor terbabit.
Tak ada apa perlu bimbang lagi kerana Kos Rawatan RM1 Kekal Di Hospital Kerajaan begitu juga kos memasuki wad hospital kerajaan.
Apapun, sebagai orang awam yang bertanggungjawab kita hendaklah mendapat maklumat sahih daripada sumber yang tepat sebelum menyebarkan sesuatu yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai.
Sumber : KKM
Post a Comment