Bulan Julai lepas saya bawa pulang jigsaw jenama Dong Cheng. Saya beli jigsaw untuk digunakan memotong papan mahupun papan lapis. Malangnya saya kurang mahir menggunakan jigsaw untuk memotong papan lapis yang panjang menyebabkan kesan potongan nampak berliku-liku macam jalan di kawasan pergunungan.

Orang mahir pun guna saw cutting guide untuk memotong papan lapis tetapi benda ini saya tidak jumpa di kedai hardware, mahupun di kedai online seperti Lazada Malaysia dan Lelong. Tanya tokey pun tak tau benda yang saya sebut.

Guna gergaji tangan lurus sedikit dari guna jigsaw tetapi tangan jadi lenguh pula lebih-lebih jumpa papan lapis atau kayu keras. Jadi gergaji tangan kurang sesuai untuk saya gunakan memotong kayu atau papan lapis.

Saya pernah mencuba menggunakan circular saw dibengkel kawan saya dan saya nampak hasil yang saya potong nampak cantik. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk mendapatkan sendiri circular saw supaya saya dapat membuat kerja pertukangan saya dengan lebih cepat dan hasilnya lebih kemas. Walaupun setiap hasil pertukangan saya hanya untuk kegunaan sendiri tetapi saya mahu setiap hasil kerja tangan saya kelihatan kemas.

Kawan saya guna circular saw jenama bosch tapi saya dapati harga jenama ini agak mahal. Kalau saya buat bisnes, saya juga akan membeli pemotong daripada jenama terkenal. Bukan mahu menunjuk-nunjuk tetapi orang kata ada jenama ada kualiti. Saya ambil keputusan ambil sepupu si bosch iaitu skil model 5301. Harga jauh lebih murah berbanding abang sepupunya bosch tetapi prestasi tetap membanggakan saya.

Dengan adanya pemotong kayu baru ini bolehlah saya memulakan projek baru saya iaitu membuat rak kasut. Buat kecil-kecilan dulu nanti sudah mahir baru buat projek yang besar sedikit dari rak kasut. Saya harap saya berjaya menghasilkan rak kasut yang kemas, tagap dan kukuh.


Post a Comment