Sudah menjadi budaya orang Malaysia yang tidak henti-henti mengutuk sesiapa sahaja yang dibenci. Bermacam-macam cara mereka meluahkan kebencian seperti mengadakan demo, mengutuk melalui media, melalui perhimpunan dan melalui blog masing-masing.

Tun Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia banyak memberikan sumbangan dalam memodenkan Malaysia. Sebab itu beliau ditulis dalam sejarah sebagai Bapa Pemodenan Malaysia. Siapapun beliau, beliau tetap tidak terlepas daripada dibenci oleh masyarakat Malaysia seolah-olah beliau tidak mempunyai sumbangan kepada pemodenan Malaysia yang kita nikmati pada ketika ini.

Secara peribadi saya tidak pernah menyokong Tun Mahathir. Ini ekoran tindakan beliau memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing di negeri Sabah, negeri kelahiranku. Walaupun saya tidak mempunyai bukti terhadap kegiatan beliau tetapi semua orang tahu hanya beliau yang ada kuasa untuk membenarkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada kaum pendatang. Walaupun begitu, saya tetap menghormati beliau. Saya tidak pernah melakukan tindakan-tindakan yang tidak senonoh semata-mata menunjukkan tidak menyokong beliau. Memadai dengan membidas setiap tindakan. Tidak perlulah bertindak sehingga memalukan seorang negarawan.

Semalam saya ada terbaca diportal berita online bahawa pejabat Tun Mahathir diserbu oleh segerombolan geng motor sambil melaungkan hidup Najib. Tindakan kumpulan itu menunjukkan kumpulan ini begitu benci dengan Tun Mahathir sehinggakan mereka sanggup melakukan perkara yang sangat biadab. Kumpulan ini buat kacau kerana kononnya sebagai tanda sokongan program Penyerahan Memorandum Menolak Deklarasi Rakyat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Buat seketika mereka telah melupakan jasa-jasa yang ditabur oleh Tun Mahathir kepada negara Malaysia. Pembangunan yang saya nikmati pada ketika ini merupakan usaha-usaha yang dilakukan semasa zaman pemerintahan Tun Mahathir. Jika ada yang terlupa, saya tidak hairan jika ada seorang anak Malaysia yang sanggup membunuh ibu bapanya kerana sedikit kesalahan.

Amat menyedihkan, bukan sahaja rakyat biasa macam saya mengutuk, menyumpah dan memalukan Tun tetapi ada di kalangan pemimpin turut serta memalukan Tun. Sayapun tidak tahu bala apa lagi yang akan diterima oleh Tun.

Namun saya yakin, Tun akan dikutuk, dihina selagi nyawa dikandung badan. Tun akan dikutuk oleh musuh politik malah mungkin kawan politik Tun. Mengapa saya berpendapat sedemikian? Sebab saya melihat beliau dalam hal lain sangat berpendirian. Itu pasti tidak akan disenangi oleh kebanyakan musuh politik dan penyokong parti politik lawan. Lebih teruk kawan UMNO beliau dahulu turut menghina beliau. Malang bagi Tun.

Dalam saya tidak suka dengan Tun, terselit rasa kesihan dengan beliau. Beliau dihentam oleh bekas rakan parti. Kemudian dihentam lagi oleh pihak PKR dan DAP. Malang sungguh Tun M.

Satu perkara saya tidak suka dengan Tun hanya berkaitan dengan projek IC di Sabah. Sama ada Tun terlibat atau tidak, hati kecil saya tetap menyatakan Tun Terlibat. Mengapa? Sebab saya teringat akan projek kependudukan Tun, Malaysia mempunyai 70 juta penduduk.

Namun seingat saya, saya tidak pernah menghina Tun. Lagipun siapalah saya untuk menghina. Cuma seorang rakyat biasa, tiada pendidikan, tiada jawatan, dan tiada parti politik.

Tetapi..

Tun Mahathir akan disanjung tinggi apabila beliau meninggal kelak. Itu sudah pasti. Saya sangat-sangat pasti. Orang ramai, sama ada ahli politik atau orang ramai akan memperkatakan perkara-perkara yang baik-baik apabila beliau meninggal kelak. Tidak mungkin ada orang yang memperkatakan sesuatu yang buruk terhadap beliau. Tidak ada orang akan mengatakan budak Kerala sudah meninggal. Orang akan memperkatakan beliaulah yang mengilhamkan pusat pentadbiran Putra Jaya, membina Litar Sepang, Membina Menara Berkembar Petronas, membina KLIA dan sebagainya..

Mengapa? Hanya mereka yang melafazkan kata-kata ini yang faham ayat sendiri.

Tetapi saya tetap menyalahkan Tun sebab meninggal tanpa menyelesaikan isu pendatang haram di Sabah dan masalah IC Projek di Sabah. Menyalahkan bukan memalukan,

Pada saat itu nanti..

Tidak hairan setiap dada akhbar menulis tentang sumbangan beliau semasa hayatnya oleh musuh-musuh beliau. Mereka yang membenci beliau seperti Dato ini Dato itu. ( Maafkan saya jika andaian saya yang Datuk-Datuk membenci Tun Mahathir. Andaian saya hanya berdasarkan ucapan-ucapan Datuk-Datuk sekalian )

Mereka yang pernah mengutuk, memalukan Tun Mahathir sepetutnya akan cakap baguslah awak dah mampus, kurang beban politik kami depan kamera supaya betul-betul nampak ada pendirian peribadi terhadap Tun Mahathir.

Mengapa sanjungan diberikan selepas kematian dimana pada saat itu orang yang disanjung tidak akan mendengar lagi sanjungan daripada mereka yang disanjung? Inilah orang Malaysia. Malaysia boleh!

Saya yakin sedikitpun pembenci Tun Mahathir tidak akan memperkatakan tentang Deklarasi Rakyat pada saat kematian beliau..Tidak akan ada orang mengatakan si nyanyok sudah mati.

Semoga Tun M panjang umur supaya dapat memberikan idea penyelesaian masalah IC Projek di Sabah.

Post a Comment